Sunday, June 19, 2011

Harga capati naik lagi!

Semalam aku makan malam di kedai mamak. Oleh kerana aku lebih suka makan roti berbanding nasi maka aku order 2 keping capati dan air suam.

Sedikit penerangan tentang capati... Bagi aku kalau nak dibandingkan dari segi rasa di antara roti canai dan roti capati, sudah tentu roti canai lebih sedap. Tapi dari segi kesihatan pula, capati mempunyai banyak kelebihan berbanding roti canai.

Semua orang tahu untuk membuat roti canai perlu menggunakan minyak yang sangat banyak. Bahkan semasa nak memasaknya juga banyak planta iaitu lemak dan minyak digunakan.

Berbeza pula dengan capati. Untuk membuat doh capati kuantiti planta yang digunakan terlalu sedikit. Sehingga dikatakan kalau tak letak planta pun boleh. Pendek kata ramuan capati hanyalah Tepung Atta, garam dan air. Jangkamasa uli yang lama yang menentukan kelembutan capati tersebut.

Semasa memasak capati pula, tiada langsung penggunaan lemak atau minyak. Capati hanya dicanaikan di atas canai tersebut sehingga masak.

Akan tetapi apa yang membuatkan aku paling tertarik dengan capati ialah penambahan kuah Coconut Chutney semasa hidangan. Di kebanyakan kedai mamak, capati dihidangkan dengan kuah dhal, kuah kari dan Coconut Chutney. Rasanya sangat unik dan sedap dimakan.

Selesai bab capati. Selepas aku makan dan membasuh tangan, maka aku memanggil mamak tersebut untuk kira. Katanya, RM3.20. Aku tersentak mendengar harga tersebut, tetapi kemudiannya faham-faham sendiri bahawa harga capati dah naik menjadi RM1.50 sekeping.

Kalau dulu harganya sekeping hanyalah RM0.80. Kemudian orang naikkan kepada RM1.00. Kemudian RM1.20 dan sekarang sudah mencapai RM1.50. Dalam masa yang singkat harga makanan di kedai mamak naik mendadak-dadak.

Tetapi yang peliknya orang ramai masih lagi suka memilih kedai mamak. Walaupun banyak cerita-cerita pelik membabitkan kedai mamak ditambah pula dengan harga makanan yang sangat mahal, tetapi orang masih lagi ignore perkara tersebut dan mahu makan di situ.

Kalau kedai orang melayu harga makanannya tinggi maka ramai yang merungut. Tetapi kalau kedai mamak harga tinggi, orang anggap biasa.

Sudah terang bahawa kita ni kena hidupkan kembali amalan makan di rumah. Memasak sendiri dan makan bersama keluarga. Itu lebih bersih dan sangat-sangat menjimatkan. Rasa sedap makan di kedai hanyalah mainan psikologi lantaran duit yang telah dikeluarkan untuk mendapatkan makanan tersebut.

No comments:

Post a Comment