Thursday, June 23, 2011

Pendaftaran Pembekal dengan MOF

Sijil MOF memang sangat penting bagi mereka yang nak buat bisnes ni. Kalau nak masuk government memang kena ada sijil MOF ni. Cuma yang agak memeningkan kepala aku ialah pendaftarannya tu.

Alhamdulillah semuanya boleh buat secara online. Tak payah pergi ke Putrajaya pun tak apa. Cuma bagi aku, ada beberapa benda yang aku rasa amat menyusahkan para peniaga.

Perkara yang paling menyusahkan bagi aku ialah tentang premis perniagaan. Kebanyakan orang melayu kita buat bisnes dengan alamat di rumah sendiri. Kebanyakan mereka pula hanya menyewa. Ini yang menjadi masalah. Yang pertama mereka perlu kemukakan salinan perjanjian sewa rumah. Sedangkan ramai orang sewa rumah tak ada kontrak pun.

Kemudiannya mereka perlu kemukakan resit rasmi untuk 3 bulan pulak. Kalau pembayaran sewa, mana ada resit rasmi. Sebab biasanya kita hanya bayar ke dalam bank sahaja. Memang tak ada resit rasmi pun. Kalau ada orang bagi resit pun, resit kosong biasa tu je. Yang boleh beli kat supermarket tu.

Dan yang kedua yang paling memeningkan kepala bagi aku adalah pendaftaran bidang. Iaitu pendaftaran bidang komputer. Aku pun tak tahu apalah sebabnya mereka sangat-sangat menyusahkan kompeni-kompeni kecil orang melayu untuk terlibat di dalam bidang komputer ni?

Macam-macam syarat diletakkan untuk membolehkan seseorang peniaga tu dapat bidang komputer. Kalau syarikat persendirian kecil memang tak ada harapanlah nak dapat bidang komputer ni. At least kena ada 2 orang staf dalam kompeni tersebut yang mempunyai ijazah hardware dan software. Contohnya B.Sc. dalam bidang Electrical, IT atau Komputer.

Banyak juga syarikat yang dah dapat bidang komputer ni, bukanlah ada staf macam tu pun. Mereka hanya pinjam nama dan sijil orang lain dan kemudiannya bagi komisen. Itu je. Banyak orang yang supply komputer aku tengok tak ada apa-apa kelulusan komputer pun.

Sebenarnya bila kita supply komputer atau pasang komputer, tak perlu ada ijazah pun boleh buat. Sebab biasanya proses yang dibuat hanyalah memesan komputer daripada distributor, membuat bayaran, mengambil komputer dan kemudiannya memasang komputer di tempat customer. Apa ijazahnya nak buat benda-benda ni?

Bidang-bidang keluaran jahitan tak perlu pulak ijazah dalam bidang Design ke, apa ke. Bidang makanan tak perlu pulak ijazah dalam bidang perhotelan ke, masak memasak ke. Yang peliknya bidang komputer, disusah-susahkan pulak. Memang ramai kompeni melayu tak dapat daftar bidang ni. Kompeni bangsa lain tu aku tak tau lah. Ramai je nampak berkeliaran...

Wednesday, June 22, 2011

Harga lelaki semakin tinggi daripada wanita tanpa disedari.

Semua orang lelaki bila nak kahwin akan rasa risau sebab tak tahu berapalah agaknya "harga" yang akan diletakkan oleh pihak keluarga si perempuan tersebut untuk mengahwini anak perempuan mereka. Inilah sebab utama mengapa orang sekarang kahwin lambat. Sebab nak mengumpul duit.

Dalam masa yang sama, orang-orang perempuan pula, jangan tak sedar pulak bahawa hakikatnya zaman sekarang ni, harga lelaki lagi tinggi! Sebab yang paling utama ialah kerana bilangan lelaki yang lebih sedikit jika nak dibandingkan dengan perempuan. Kalau di dalam bisnes, barang yang melimpah ruah di pasaran, harganya akan turun. Sebaliknya barang yang tak cukup di pasaran, harganya akan naik, sebab permintaan melebihi bekalan.

Samalah halnya dengan orang lelaki. Walaupun kita ni bukan barang, tapi paham-paham je lah. Orang perempuan, kalau nak jual mahal sangat, alamatnya andartu lah anda. Nasib baiklah orang lelaki jarang menolak seseorang perempuan kerana harganya mahal. Sebab itulah kita jarang dengar orang tak jadi kahwin atau putus tunang sebab pihak perempuan meletakkan harga yang tinggi.

Kalaulah ada orang lelaki berani bersuara dan mengatakan, "Tak pa lah, kalau nak letak harga tinggi-tinggi sangat, tak payah lah, ramai lagi perempuan baik saya boleh cari..." Aku rasa tergamam juga keluarga perempuan mendengarnya.

Sebab lain pula adalah kerana orang perempuan zaman sekarang ni, kebanyakannya akan bersedia untuk kahwin pada umur yang lanjut. Sedangkan orang lelaki suka yang sweet seventeen. Bagi aku sendiri kalau dah 20 lebih tu dah tua lah tu. Bila dah sampai umur 28 ke atas, barulah mereka bersedia nak kahwin. Itu pun mungkin sebab risau akan menjadi andartu. Pantang ada peluang, pasti direbutnya. Sebab itulah kalau korang perasan, ramai orang perempuan suka mengiklankan dirinya di dalam facebook.

Antara sebab yang menambahkan mahalnya seseorang lelaki itu ialah sifat baiknya. Walaupun semakin hari kita dapati akhlak pemuda-pemuda semakin runtuh, tetapi dalam masa yang sama semakin ramai juga pemuda-pemuda yang suka jadi baik dan soleh. Dan aku tahu, memang idaman setiap wanita untuk mempunyai suami yang soleh.

Ramai juga orang lelaki yang di dalam kategori baik dan soleh yang dah berkahwin sering digoda di tempat kerja. Korang yang terlibat pasti setuju kan? Sebab zaman sekarang ni orang perempuan rasa risau sebab dah susah sangat nak cari lelaki yang betul-betul baik. Yang ada depan mata mereka adalah lelaki-lelaki yang suka mengambil kesempatan.

Jadi kesimpulan daripada perkara yang diperkatakan di atas ialah, pihak perempuan kena berhentilah letak harga yang tinggi-tinggi. Makcik-makcik, pakcik-pakcik, fikir-fikirkanlah masa depan anak dara anda. Sampai bila korang semua nak biarkan anak dara korang menggelupur sampai ke tua. Orang lelaki dah lah sikit zaman sekarang ni. Kalau dah jumpa yang baik, segerakanlah perkahwinan. Tak payahlah letak harga tinggi sangat sehingga tak tercapai orang dibuatnya.

Orang lelaki pulak, gunalah ayat korang tu sikit. Bagi orang-orang perempuan ni faham bahawa mereka ni dalam risiko. Kalau betul mereka nak bersuamikan anda, jangan jual mahal-mahal. Kalau tak, anda mempunyai hak untuk beredar dan mencari yang lain. Ketahuilah bahawa perempuan terlalu ramai di luar sana. Hah tak paham ke wahai cik adik. Kalau nakkan abang, janganlah susah-susahkan!

Tuesday, June 21, 2011

Pemandu teksi bukanlah miskin.

Seorang brother tengah carikan jodoh untuk saudara perempuan dia yang kerja sebagai cikgu. Dia bertanya seorang lagi brother tentang pekerjaannya. Kata brother satu lagi tu, pemandu teksi. Kata brother tadi, perempuan ni kalau boleh nak yang setaraf sikit... Ceh! Melopong aku mendengar cerita ni...

Kalau zaman dahulu mungkin pemandu teksi hampir kesemuanya termasuk dalam golongan miskin. Tapi zaman sekarang keadaan dah berubah. Aku tak tahu di negeri-negeri lain. Tapi kalau di Lembah Kelang ni, boleh dikatakan hampir semua pemandu teksi dah terkeluar daripada belenggu kemiskinan.

Of course, sebab pertama ialah apabila kita naik sahaja teksi, RM3.00 telah pun dicaj. Ini bukan komplen. Kerana bagi aku itu berpatutan pada zaman sekarang. Cuma mungkin orang yang nak pergi tempat dekat akan rasa beban sikit.

Teksi sekarang juga gunakan NGV. Tak guna sangat petrol. Melainkan kes-kes tertentu lah. Contohnya kalau dia pergi hantar penumpang ke negeri lain yang kemudiannya di situ tak ada stesen minyak yang ada NGV, maka terpaksalah dia gunakan petrol.

Pengalaman bersembang dengan pemandu teksi, dalam 1 hari, kebiasaannya hanya isi gas 1 kali dengan harga lebih kurang RM9. Kemudian boleh bawa dari pagi sampai petang waktu asar dengan pendapatan lebih kurang RM120 ke RM150 dan kadangkala mencecah RM200.

Kalau disambung bawa teksi dari waktu asar sampai malam mungkin lebih lagi pendapatannya. Sedangkan pembayaran teksi harian adalah sekitar RM50 sahaja.

Pendek kata pemandu-pemandu teksi bukanlah golongan rendah. Aku sendiri kenal dengan beberapa pemandu teksi yang loaded. Siap boleh ambil 2 ke 3 teksi lagi untuk anak-anak bawa sekali. Jangan lupa pula, selepas 3 ke 4 tahun habis bayar teksi, mereka boleh dapat pendapatan yang lebih lagi.

Tak cerita lagi tentang teksi yang bertugas di airport. Seorang kawan aku menceritakan bahawa pendapatannya mencecah RM8000 sebulan.

Jadi kesimpulannya pemandu teksi zaman sekarang dah sekufu dah dengan orang-orang kerja pejabat. So, janganlah kita eksyen sangat dengan kerja kita dan memandang rendah dengan profesyen pemandu teksi.

Sunday, June 19, 2011

Harga capati naik lagi!

Semalam aku makan malam di kedai mamak. Oleh kerana aku lebih suka makan roti berbanding nasi maka aku order 2 keping capati dan air suam.

Sedikit penerangan tentang capati... Bagi aku kalau nak dibandingkan dari segi rasa di antara roti canai dan roti capati, sudah tentu roti canai lebih sedap. Tapi dari segi kesihatan pula, capati mempunyai banyak kelebihan berbanding roti canai.

Semua orang tahu untuk membuat roti canai perlu menggunakan minyak yang sangat banyak. Bahkan semasa nak memasaknya juga banyak planta iaitu lemak dan minyak digunakan.

Berbeza pula dengan capati. Untuk membuat doh capati kuantiti planta yang digunakan terlalu sedikit. Sehingga dikatakan kalau tak letak planta pun boleh. Pendek kata ramuan capati hanyalah Tepung Atta, garam dan air. Jangkamasa uli yang lama yang menentukan kelembutan capati tersebut.

Semasa memasak capati pula, tiada langsung penggunaan lemak atau minyak. Capati hanya dicanaikan di atas canai tersebut sehingga masak.

Akan tetapi apa yang membuatkan aku paling tertarik dengan capati ialah penambahan kuah Coconut Chutney semasa hidangan. Di kebanyakan kedai mamak, capati dihidangkan dengan kuah dhal, kuah kari dan Coconut Chutney. Rasanya sangat unik dan sedap dimakan.

Selesai bab capati. Selepas aku makan dan membasuh tangan, maka aku memanggil mamak tersebut untuk kira. Katanya, RM3.20. Aku tersentak mendengar harga tersebut, tetapi kemudiannya faham-faham sendiri bahawa harga capati dah naik menjadi RM1.50 sekeping.

Kalau dulu harganya sekeping hanyalah RM0.80. Kemudian orang naikkan kepada RM1.00. Kemudian RM1.20 dan sekarang sudah mencapai RM1.50. Dalam masa yang singkat harga makanan di kedai mamak naik mendadak-dadak.

Tetapi yang peliknya orang ramai masih lagi suka memilih kedai mamak. Walaupun banyak cerita-cerita pelik membabitkan kedai mamak ditambah pula dengan harga makanan yang sangat mahal, tetapi orang masih lagi ignore perkara tersebut dan mahu makan di situ.

Kalau kedai orang melayu harga makanannya tinggi maka ramai yang merungut. Tetapi kalau kedai mamak harga tinggi, orang anggap biasa.

Sudah terang bahawa kita ni kena hidupkan kembali amalan makan di rumah. Memasak sendiri dan makan bersama keluarga. Itu lebih bersih dan sangat-sangat menjimatkan. Rasa sedap makan di kedai hanyalah mainan psikologi lantaran duit yang telah dikeluarkan untuk mendapatkan makanan tersebut.

Friday, June 17, 2011

Assalamualaikum, pembuka bicara.

Setelah sekian lama aku meninggalkan kebiasaan menulis blog, rasa terpanggil pula untuk menulis sekadar mengisi masa lapang lantaran minat aku yang teramat sangat dalam bidang penulisan. Tak pernah aku mengikuti mana-mana kelas atau bengkel penulisan. Sebab itulah penulisan aku sama sahaja seperti orang lain. Tiada bezanya, tiada hebatnya.

Sebelum ini aku mempunyai blog sendiri yang aku gunakan untuk menulis beberapa topik, terutamanya topik agama. Oleh kerana aku ini bukanlah ulamak, maka aku menyedari betapa bahayanya menulis tentang perkara-perkara agama jika kita bukan ahlinya.

Kadangkala aku melihat sudah menjadi trend kebanyakan blogger untuk menulis tentang agama walaupun disedarinya bahawa dia bukanlah ulamak. Setakat menjadi ustaz tidak melayakkan kita memberi apa-apa pendapat tentang agama. Perlulah ilmu itu diakui oleh para ulamak lain akan keahliannya. Barulah layak menulis tentang hukum ahkam agama.

Ramai juga blogger yang suka copy & paste mana-mana artikel yang mereka rasakan seronok atau excited atau controversial dan diletakkan di dalam blog mereka. Maka save lah satu artikel baru untuk blog mereka. Sedangkan dalam diam mereka tidak sedar bahawa menyebarkan sesuatu tanpa usul periksa adalah sangat bahaya. Terutamanya perkara hukum ahkam agama. Wallahua'lam. Aku pun tak pandai.

Kerana itulah aku berjanji dengan diri aku sendiri bahawa blog free yang aku buat sekarang ini hanyalah sekadar menulis untuk berkongsikan maklumat atau tips-tips yang kadangkala aku rasa ada baiknya jika aku kongsikan bersama. Semoga niat aku itu diberkati oleh Allah dan dimudahkan segala urusan aku sehingga ke akhir hayat.